Rabu, 2 Ogos 2017

JIKA KAU RASA GETARNYA


Bab 1
Zahra memejamkan matanya rapat menahan kesakitan. Tangan dan lututnya terasa perit sekali. Dia membuka kelopak matanya perlahan- lahan. Matanya terus membulat saat terpandangkan darah yang mengalir pada tangan dan lututnya. Mulalah kepalanya terasa berpinar-pinar. Namun, digagahkan juga dirinya untuk bertahan memandangkan dia hanya seorang diri di tepi jalan itu. Jika tidak, sudah tentu dia sudah terjelepok di situ.
Dan pastinya berlaku babak drama Taiwan jam 3.00 petang yang sangat romantis. Saat dunia semakin kelam, tiba-tiba muncul tangan sang putera raja menghulurkan bantuan. Si gadis malang lagi lemah perlahan-lahan menyambut huluran tangan tersebut. Lama mereka bermain mata. Dan…
Stop it, Zahra! Kau kan baru sahaja terlibat dalam kemalangan. Nyawa kau hampir tinggal nyawa-nyawa ikan keli dan kau masih boleh berangankan putera raja? Mental! Mental! Hatinya mula memberi amaran ditambah pula dengan perisa berbaur ugutan yang tidak menyenangkan akalnya untuk terus berangan.
Zahra memukul kepalanya bertalu-talu. Hati ini langsung tidak memberi keizinan kepadanya untuk menghabiskan imaginasinya yang setinggi Gunung Kinabalu atau lebih tepat lagi angan-angan Mat Jenin. Terpaksalah dia menangguhkan babak drama yang bermain di benaknya.
Zahra mengetap bibirnya. Hatinya disimbah perasaan amarah yang begitu membuak-buak. Darjah kemarahannya yang setinggi 100 darjah Celcius dapat dibuktikan melalui lubang hidungnya yang sedari tadi kembang kempis secara bergilir-gilir. Apabila dikaji secara terperinci, keadaan wajahnya itu tidak ubah seperti kerbau Ranjit iaitu Sapy dalam telemovie Pengembaraan Upin dan Ipin sahaja. Sudahlah hatinya sakit, ditambah pula dengan sakit di badan.
“ Dasar pengguna jalan raya yang tak berhemah. Dahlah langgar aku, larikan diri pula. Tak ada tanggungjawab langsung. Ingat dia langgar anak kucing ke?” bebel Zahra tanpa memikirkan tanggapan orang yang mungkin lalu-lalang disitu mengklasifikasikan dia sebagai salah seorang pesakit mental yang berjaya memboloskan diri dengan gaya Olimpik dari Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. Ah… pedulikan!
Hatinya ketika itu benar-benar sebal mengenangkan apa yang telah terjadi. Elok sahaja dia ingin membelok ke kanan jalan, tiba-tiba sahaja kereta Proton Saga hitam yang datang dari arah belakang merempuh sisi motorsikalnya sedangkan dia sudah memberi isyarat untuk masuk ke simpang itu. Seolah-olah seperti kemalangan terancang yang disengajakan. Arghhh… kusut kepalanya memikirkan kebarangkalian itu.
“ Awak tak apa-apa ke?” suara seorang lelaki yang meluru masuk ke gegendang telinganya memecahkan tembok khayalan Zahra. Dia lantas memalingkan wajahnya memandang seorang lelaki yang bertubuh tinggi lampai dan tegap. Terkebil-kebil matanya memandang seraut wajah yang tenang itu.
Baru sebentar tadi dia berangankan seorang putera raja datang menyelamatkan dia. Dan sekarang di hadapannya terpacak seorang pemuda yang begitu kacak bertanyakan keadaannya. Adakah kehadiran pemuda itu adalah untuk menjadi penyelamat kepada dirinya, seorang insan yang lemah? Wajarkah dia menjadikan angan-angannya sebentar tadi kepada realiti walaupun dihadapannya kini bukanlah putera raja seperti yang diangankan sebentar tadi? Patutkah dia terjelepok dengan wajah yang bermaruah di hadapan pemuda itu? Patutkah?
“ Cik, awak tak apa-apa ke?” soal Aryan sekali lagi apabila soalannya tadi tidak dijawab ibarat dibawa angin lalu. Kalau kali ini pertanyaan dia masih tidak mendapat respons dari gadis itu, maka haruslah dia bertukar sebagai perakam bagi mengulang tayang dialog tersebut. Zahra kembali tersedar. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“ Err… saya okey. Cuma…” balas Zahra namun kata-katanya terhenti sebaik sahaja matanya menyinggah pada scooter kesayangannya, Ciko. Mulutnya terlopong. Dia bingkas bangun dengan badan yang terhinjut-hinjut lantas mendekati Ciko. Pasti gayanya dilanggar tadi penuh dengan aksi-aksi terbang ala-ala Jackie Chan memandangkan tubuhnya tertiarap di ufuk Timur dan Ciko tersadai di ufuk Barat.
Dia membelek-belek tubuh Ciko yang agak menyayat hati itu. Zahra cuba menghidupkan kembali Cikonya namun usahanya menemui kegagalan ibarat tikus membaiki labu. Ada kena mengena ke? Ok, diam!!!
Zahra terduduk. Aryan menghampiri Zahra lalu duduk bertinggung di hadapan gadis berusia 24 tahun itu. Dia perasan ada mutiara jernih yang mengalir di bening gadis itu..
“ Cik, why are you crying?”
“ Huwaa!!! Ciko! Dia dah meninggal dunia. Ini semua Proton Saga punya angkara.” bentak Zahra sambil menghentak-hentakkan kakinya di atas jalan. ‘Kau ingat kau tengah berkawad?’ Hatinya sempat lagi melayangkan kata-kata bernada rusuhan terhadap diri sendiri. Aryan tidak pasti sama ada dia harus bersimpati atau menghamburkan ketawa hingga bergegar jalan itu. Baiklah, ini sudah melampau. Tetapi perlakuan Zahra itu mencuit hatinya hingga mengundang tawa dari bibir Aryan. Sangat kelakar. Persis seorang kanak-kanak yang tidak mendapat patung Barbie keluaran terbaru.
“ Kenapa awak gelakkan saya? Not funny, okay. Ingat tengah tonton Maharaja Lawak Mega secara live ke? Tahu tak Ciko saya dah meninggal dunia? Kasihan dia.” Panas hatinya apabila ditertawakan oleh jejaka itu. Bertambah galak Aryan mentertawakan Zahra sehingga berair matanya. Namun ketawanya mati apabila tangisan Zahra semakin lama semakin nyaring. Dia mulai kalut. Ah, sudah!
“ Baiklah, saya minta maaf. Tak ada niat pun nak ketawakan awak cuma awak ni kelakar betul la. Ciko awak tu tak meninggal lagi cuma dia koma sekejap. Nanti kita hantar Ciko pergi workshop, suruh mekanik rawat dia sampai sihat balik. Okey?” pujuk Aryan dengan nada suara seorang bapa mithali. Cehh…
Zahra sudah menghentikan tangisannya sambil jarinya sibuk mengelap linangan air mata dengan ayunya. Matanya tampak bersinar. Hatinya berasa sedikit lega.
“ Betul ke ni?” soal Zahra, meminta kepastian.
Absolutely right. Apa kata kita pergi klinik? Luka awak tu teruk juga. Kalau lambat nanti kuman masuk lagilah teruk.” usul Aryan. Bimbang juga dia apabila melihat luka yang sudah tercop di siku dan lutut gadis itu. Baju kurung yang tersarung kemas di badan gadis itu juga koyak di tempat yang mengalami luka.
“ Tapi, Ciko macam mana?” Tidak sanggup rasanya membiarkan jantung hatinya itu tersadai di situ. Aryan menekap tangannya ke dahi seperti sedang berfikir. Sekali tengok lagaknya seperti seorang professor. Dia mula bergerak jauh sedikit daripada Zahra. Seketika kemudian, dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar slacknya lalu menelefon seseorang. Zahra mengerutkan dahinya. Sepatah haram dia tidak dapat mendengar butir bicara jejaka itu padahal jarak mereka hanyalah sekangkang manusia. Adakah ini kesan daripada kemalangan tadi yang membawa kemungkinan dia untuk menjadi si pekak suku adalah 100 peratus? Zahra menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak seharusnya usia mudanya berakhir dengan kepekakan.
Aryan kembali menapak ke arah Zahra. “ Awak jangan risau. Saya dah minta tolong abang saya untuk hantar Ciko ke workshop.”
Zahra memandang Aryan dengan wajah yang pelik. Dengan efek kening terangkat ala-ala Ziana Zain menambahkan lagi keberkesanan riak wajahnya yang penuh dengan kesangsian. ‘Asal mamat ni baik sangat dengan aku? Agak mencurigakan. Tapi tak apa. Zahra, manfaatkan ilmu silat yang kau pelajari di sekolah dahulu.’desis Zahra sambil menguis-nguis dagunya. Eleh, belajar pun seminggu saja. Jangan nak perasan ilmu silat kau penuh di dada seperti dalam cerita Da Di Du. Baiklah, hatinya merusuh lagi. Memang hatinya dengki di saat dia cuba meninggikan lagi hidungnya yang sedia tinggi itu.
Aryan perasan akan riak wajah Zahra. “ Saya ikhlas tolong awak. Kasihan tengok awak kena langgar macam itik serati terbang tadi.” kutuk Aryan, selamba seperti dapat menghidu apa yang difikirkan oleh gadis itu. Zahra membulatkan matanya.‘Ada ke patut dia panggil aku itik serati? Nasib baiklah aku terhutang budi dengan kau. Kalau tidak, free sahaja makan sup flying kick dari kaki aku ni.’ gumam Zahra dalam hati.
Tapi… tapi, itik serati terbang? Oh my God! Maknanya, dia nampak la aku terbang dan tertonggeng lepas accident tadi? Oh, tidak! Maruahku sebagai gadis desa yang sejati telah tercalar. Mana aku nak sorok muka ni?
“ Saya bergurau saja la. Marilah saya hantar awak ke klinik.”

Zahra membuntuti langkah Aryan menuju masuk ke dalam perut Mini Cooper jejaka itu. Sempat dia berpaling melihat Ciko kesayangannya tersadai di tepi jalan itu setelah dialihkan oleh Aryan tadi. Sayu hatinya apabila mengenangkan hadiah pemberian arwah ayahnya teruk dihentam kereta Proton Saga itu. Dia menyimpan dendam kesumat terhadap manusia yang tidak berhati perut yang telah melanggarnya sebentar tadi.